Monday, January 4, 2010

Bab 2 Puteri Utara Putera Selatan

Puteri2

Putera Adex terus mendesak Bomoh Mega, sebenarnya Mega hanyalah berpura-pura takut untuk memberitahu cerita tentang kuda bota itu kerana dia telah berpakat dengan Romotex untuk memerangkap Adex yang bersikap angkuh itu.
"Beginilah tuanku, jika berhajat sangat untuk mendapatkan kuda bota itu... Syarat dan pantangnya sedikit sahaja."
"Beritahulah Pawang Mega, beta sanggup buat apa sahaja untuk mendapatkannya..."
"Terdapat tiga syarat penting tuanku. Pertama, tuanku perlu pergi berjumpa dengan penjaga kuda-kuda itu yang berupakan mahkluk agorak yang bengis dan selalu dahagakan darah manusia hidup. Kedua, apabila berjumpa dengan mahkluk agorak itu, tuanku hendaklah menjanjikan sejumlah nyawa manusia yang sama untuk ditukarkan dengan bilangan kuda bota itu. Ketiganya, tuanku kena mengorbankan seorang nyawa manusia untuk diberi makan kepada kuda-kuda itu setiap kali bulan mengambang..."

Beberapa hari kemudian, Adex bertemankan sepuluh orang pengikut yang terdiri daripada lima kawan Mesir dan lima kawan budak Hikzos tempatan pergi ke kawasan pergunungan Merah itu. Apabila sampai dikaki pergunungan itu, Adex meninggalkan rakan-rakan hikzosnya, "Rhodor, beta mahu kamu dan kawan-kawan kamu tunggu disini sahaja. Biar beta dan kawan beta ke atas untuk berjumpa dengan penunggu kuda bota itu." Budak-budak hikzos itu ikutkan saja arahan Adex itu. Adex telah pun merangka satu rancangan yang jahat.
Setelah beberapa tempoh pendakian yang sukar itu mengambil separuh hari. Hari sudah senja di pergunungan itu dengan permandangan awn merah menyala. Adex mengakhiri pendakian dengan tiba disebuah rambung tanah datar di kemuncak pergunungan itu. Adex terpegun melihat permandangan kuda-kuda bota itu meragut rumput di padang itu dan berpelakuan ganas sekali.
"Tuanku... Bagaimana kita hendak menangkap kuda-kuda itu?" Tanya hairan kawannya.
"Beta tahu caranya... Serah soal itu pada beta... Beta nak pergi masuk gua tempat penunggu kuda itu berada..."
"Kami boleh ikut tuanku?" Minta izin pengikutnya.
"Tak perlu kamu ikut... Beta mahu pergi seorang sahaja... Kamu semua berada disini sahajalah... Tengok-tengokkan kuda-kuda itu."
"Tapi tuanku... Tugas kami adalah untuk melindungi keselamatan diri tuanku."
"Tak perlu, tak perlu..."
"Baik tuanku..."

Adex meninggalkan pengikutnya di pinggiran padang rumput itu, dia menuju ke sebuah gua besar di satu tebing di sudut dataran itu. Adex memasuki gua yang penuh misteri itu, keadaan sungguh kelam, gelap dan menyeramkan. Adex cuba menyeru penunggu, "Penunggu kuda... Penunggu kuda!" Beberapa kali.
"Ya manusia, apa kamu mahukan... Berani kamu datang jumpa aku hah..."
"Saya seorang putera diraja Mesir... beta mahukan..."
"Aku tahu apa yang kamu mahukan... Kamu mahu mengambil kuda-kuda sakti aku kan?"
"Ya... Wahai penunggu yang bijaksana..."
"Kamu tahu apa syarat-syaratnya?
"Beta tahu..."
"Berapakah kamu mahukan?"
"Buat permulaan... Lima ekor sahaja..."
"Kamu sudah sediakan korban untuk kuda-kuda aku?"
"Sudah tuan penunggu, seramai 5 nyawa ada pinggiran padang menanti untuk dikorbankan, beta berjanji untuk menyediakan korban setiap kali bulan mengambang menjelma."
"Baiklah... Aku izinkan kuda -kuda aku itu menjadi milik kamu selagi kamu berpegang pada janji kamu itu... Kuda-kuda aku sudah 4 ratus tahun dahagakan darah manusia."
"Beta janji..."
"Nyah kamu dari sini." Kata penunggu sambil terkumat-kamit membaca ayat mantera. Adex segera meninggalkan tempat itu.

Apabila Adex sampai di pintu gua, dia dapat melihat dari jauh kuda-kuda bota itu mulai meliar ganas membaham lima orang kawan Mesirnya. Binatang itu mengoyak-rabak dan memakan daging lima manusia malang itu sambil mengaum ganas. Adex yang tengok memerhatikan menjadi gerun dan gila.
Setelah kuda-kuda ganas itu selesai menjamu selera, Adex pun pergi mendekati binatang itu. Kuda yang ganas bertukar menjadi jinak sekali apabila Adex berada dekat dan menunduk sujud hormat kepada Adex. Adex ketawa mengilai kesukaan lalu memilih kuda yang paling tegap untuk ditungganginya. Adex mengetuai kumpulan kuda itu terbang ke bawah pergunungan itu ke tempat kawan Hikzosnya berada.
Budak-budak Hikzos itu juga terkejut besar melihat kuda-kuda itu berjaya diperolehi Adex itu. Binatang itu berupa naga yang mengeluarkan api tetapi bersayap bertubuh helang berkaki empat. Adex mengarahkan empat orang menunggang kuda bota bersamanya manakala seorang mengembala 10 kuda yang lain untuk dibawa ke lembah.
Dalam masa penerbangan ulung bersama-sama kawan Hikzos itu, Rhodor memberanikan diri bertanyakan tentang kawan-kawan Mesir Adex itu. Dan dengan megah Adex memberitahu, "Semua sudah berada dalam perut kuda-kuda ini."
Kawan-kawan Hikzos yang lain hanya mengelengkan kepala tanda kasihan. Akhirnya mereka sampai di bandar padang pasir itu. Mereka mengadakan pesta bersempena penamatan perguruan Lembah Merah itu.
Ketika berlangsung pesta yang tidak senonoh itu, Adex bersama Ravez di satu tempat lain iaitu bangsal tersimpannya kuda bota itu. "Adakah kanda akan tinggalkan dinda disini?"
"Tidak... Kanda tidak akan tinggalkan adinda Ravez untuk selamanya. Kanda akan kembali semula ke sini setelah kanda menjadi Raja Mesir yang rasmi, kanda janji akan jadikan Ravez sebagai Ratu Ravez nanti."
"Kanda janji ya..." Desak mengoda Ravez dan mereka kemudiannya melakukan lakuan terkutuk.

Keesokkan harinya, Adex bersama empat rakan Hikzosnya pun bertolak ke Mesir dengan menunggang kuda bota itu. Di masa yang sama di Istana Agung Memphis, Raja Firdaus berada dalam keadaan gering kerana sakit kerinduan mendiang isterinya yang telah lama berlarutan.
Ketibaan penerbangan kuda bota itu cukup menakutkan rakyat jelata di seluruh kota. Apatah lagi dengan laungan ngeri kuda itu beserta hembusan api. Akhirnya kumpulan kuda itu mendarat di padang istana. Seluruh warga istana ketakutan dengan kemunculan haiwan ganas yang tidak pernah dilihat di bumi Mesir itu.

Raja Firdaus yang berehat di kamar diraja utama didatangi oleh seorang pengawal kanan memaklumkan kepulangan Adex. Raja Firdaus sedikit segar dengan berita itu. Baginda mengarahkan jamuan makan malam diraja diadakan. Adex dan pengawal peribadinya disambut dengan meriah.

Beberapa hari kemudian, kapal layar yang membawa Putera Ramirez pun sampailah ke pelabuhan sungai bandar diraja itu. Hanya seorang pengawal pangkat rendah datang menyambut mereka. Rombongan Ramirez hanya bertemankan isterinya Saltinar dan rakan mereka Vaspara dan Maltinar. Hanya sedikit barang yang dibawa berserta sepasang kuda putih sakti itu tetapi tanpa tanduk unikon dan sayapnya.
Mereka kemudian mengadap paduka baginda raja di balairongseri utama istana, Adex yang sampai terdahulu berada di sebelah baginda. Ramirez memberitahu Raja Firdaus tentang perkahwinannya dengan Saltinar. Adex turut terpikat dengan kejelitaan Saltinar itu, dia sungguh berasa cemburu dengan pilihan abangnya itu.

Raja Firdaus berasa sungguh gembira dengan berita itu maka baginda mengistiharkan esok hari akan dilangsungkan perkahwinan rasmi Putera Ramirez dengan Saltinar itu. Hari menjelang senja di bandar Memphis. Pada masa yang sama, sekumpulan pemberontak yang terdiri daripada orang Nubia dari kawasan gurun tandus di selatan telah menyerang hendap pasukan tentera kerajaan di Bandar Lama Thebes. Mereka sebenarnya telah diupah oleh Romotex untuk membuat keadaan negara Mesir kucar-kacir.

Suasana di ibukota masih lagi meriah dengan acara sambutan perkahwinan diraja itu. Acara utama diadakan di Kuil Agung Amon. Suasana sambutan meriah hinggalah ke malamnya. Di istana dilangsungkan makan malam diraja bersempena perkahwinan itu. Dipertengahan kemeriahan keraian itu, baginda raja dikejutkan dengan kehadiran sepasukan tentera utusan dari Thebes yang memberitahu tentang penyerangan itu.
Pada mulanya, Raja Firdaus sendiri mahu mengetuai angkatan tentera memusnahkan tentera pemberontakan itu tetapi putera sulung membantah keras memandangkan kesihatan tuanku baginda itu. Lantas Ramirez secara sukarela ingin mengetuai ketumbukan ke Thebes. Raja Firdaus mencadangkan Putera Adex membantu abangnya tetapi Adex hanya tahu mengeluh, "Alah lecehlah ayahanda... Anakanda berada di bandar lama."

Ramirez juga menyokong kerana berpendapat adiknya itu lebih baik berada di sisi tuanku demi keselamatan baginda raja. Di dalam hati Adex berkata,"Jika ayahanda meninggal... Tentu sekali aku akan menjadi raja dihilir... Jika aku tidak tinggalkan Kota Memphis ini."

Baginda Raja Firaun merestui hasrat Ramirez itu, pada malam itu juga, meninggalkan isteri tercinta hanya bersama Maltinar dan dayang-dayang istana. Baginda dibantu Vaspara bersama pasukan tentera diraja Mesir berangkat dengan menaiki beberapa kapal layar dan sampai di waktu tengahari keesokkannya.
Apabila mereka sampai di Kota Thebes itu, bandar itu telah teruk dijarah, kesemua tentera pertahanan telah dibunuh. Terdapat juga rakyat biasa yang dibunuh dengan kejam. Ramirez mengatur serangan balas terhadap pemberontak.
Di waktu tengahari, pasukan peninjau berkuda Mesir dapat meninjau kedudukan terkini pemberontak dan membawa perkhabaran itu kepada baginda. Lantas baginda bersegera menyerang hendap habis-habisan penumbukan pemberontak di tengah padang pasir. Putera Ramirez berjaya menghapuskan pemberontak durjana itu.

Sekembali Ramirez ke Kota Thebes, beliau bertikad untuk membangunkan semula ibukota lama Mesir itu. Setelah beberapa minggu, rombongan Puteri Saltinar pun sampai untuk menyertai suaminya itu. Turut sama adalah baginda tuanku firaun Raja Firdaus. Baginda mewatikahkan Ramirez untuk memerintah sementara Wilayah Mesir Selatan. Selesai pewatikahan itu maka berangkat balik baginda tuanku ke Memphis.

Masa terus berlalu, Ramirez berjaya membangunkan semula wilayah selatan dengan penambahan rancangan pengairan padang pasir dan pembinaan empagan sungai yang lebih besar. Thebes menjadi makmur sekali, rakyat begitu gembira dengan keperihatinan dan perhatian raja mereka yang mereka kasihi. Maka itu, setiap tahun diadakan pesta kesyukuran di atas kemakmuran yang dikecapi oleh Thebes kini. Beberapa tahun kemudian, Puteri Saltinar melahirkan seorang anak lelaki melayakkan Ramirez untuk menjadi seorang raja yang rasmi.
Manakala di Memphis, suasana menjadi berbeza, Raja Firdaus semakin gering hanya terlantar di kamar diraja. Adex yang memegang tampuk pemerintahan Mesir Utara gagal memakmurkan atau mengekalkan kekayaan yang ada oleh negeri Memphi. Pemerintahan Adex penuh kekejaman, ramai rakyat yang tidak berdosa menjadi korban kuda botanya.

Kini di Thebes diadakan festival keraian bersempena ulang tahun pertama kelahiran putera sulung Ramirez yang dinamakan sebagai Ramiezar. Suasa seluruh istana keriangan melakukan persiapan festival.
Manakala di Memphis, Raja Firdaus memberitahu pengawal diraja untuk memanggilkan jurutulis diraja dimana baginda mahu menitahkan perutusan perlantikan rasmi Ramirez sebagai Raja Mesir Bersatu mengantikan baginda. Tetapi perutusan itu dapat dihidu oleh Adex. Adex mengarahkan dua kawan Hikzosnya untuk melakukan dua tugas berasingan, yang pertama pergi membunuh peyampai perutusan diraja itu dan yang kedua berangkat dengan kuda bota ke Lembah Merah. Raja Romotex begitu bergembira dengan berita perkhabaran yang dibawa, Adex memberitahu untuk merampas kuasa. Romotex mengumpulkan bala tentera berangkat ke timur.

Menjelang malam muda di Kota Thebes, Ramirez di anjung kamar kelihatan kegelisahan, Saltinar yang hanya memerhatikan baginda kemudian memberitahu, "Kekanda, anakanda kita akan mempunyai teman bermain sendiri 9 bulan lagi."
"Ya adinda... Kekanda amat bergembira." Berita itu sedikit-sebanyak menghilangkan gusar di wajah Ramirez. Maltinar sebagai dayang utama istana memandang keduanya dari jauh, hanya beliau dan Vaspara tahu tentang kehamilan awal permaisuri itu.

Di istana Memphis, Adex hanya menantikan pasukan bantuan daripada Lembah Merah tiba. Orang suruhan Hikzosnya memberitahu, pasukan bantuan sudah sampai di pinggir Bandar Memphis. Adex mengambil langkah dan masuk ke kamar utama diraja, sebelum itu dia menitahkan semua dayang dan pengawal istana keluar dari situ. Baginda Raja Firdaus sudah begitu lemah tidak terdaya. Adex mengeluarkan pisau tajam dari baju simpanannya. Tanpa membuang masa lagi, Adex menghunuskan pisau itu ke dada ayahandanya tanpa sebarang simpati. Manakala serentak dengan itu, Romotex mengarahkan serangan di pelbagai penjuru Memphis. Ramai tentera diraja Mesir mati terkorban dalam serangan mengejut itu. Setelah ketumbukan tentera utama bandar telah tumbang, Romotex mengarahkan pasukannya menghala ke Kuil Amon Utama untuk membunuh kakitangan paderi kuil itu termasuklah Paderi Agung yang juga ayah Vaspara. Romotex berjaya membunuh dengan kejam tuan paderi yang tidak bersenjata. Romotex begitu gembira sekali kerana dia sendiri akan mengambil-alih jawatan paderi kepada dirinya sendiri dimana kedudukan Paderi Agung Mesir adalah penasihat utama Firaun.
Kemudian Adex menyertai ayah angkatnya itu. Dengan segera Adex menitahkan bala tentera durjana itu bergerak ke selatan Mesir iaitu ke Bandar Thebes! Terlebih dahulu, Adex dan pasukan elit kuda burung bota berangkat terbang ke sana dengan tujuan untuk membunuh abangnya.

Di perkarangan Istana Utama Thebes, Raja Ramirez berada di anjung menara utama istana untuk menyampaikan ucapan diraja. Rakyat di laman begitu keriangan menanti raja kesayangan mereka untuk memulakan ucapan pembuka festival.
Pasukan berkuda bota Adex begitu hampir ke Kora Thebes. Ramirez yang sedang berucap dikejutkan dengan gaungan raksasa ganas yang bernama kuda bota itu. Rakyat berteriak ketakutan dan lari bertempiaran menyelamatkan diri. Burung kuda bota yang mendarat itu membaham mencederakan sesiapa sahaja yang berdekatan dengannya.
Pendaratan kuda ganas itu amat memeranjatkan semua kerana ternyata diketuai oleh raja di hilir Mesir iaitu Adex! Adex menitahkan pengawal-pengawalnya untuk membunuh semua yang ada. Maka mulalah orang Hikzos yang berdarah ganas itu menjarah semua.

Melihat keadaan kecoh di bawah istana, Raja Ramirez menitahkan pengawal yang ada melindungi istana. Pengawal istana sedaya upaya melawan pahlawan ganas dari Lembah Merah itu. Raja Ramirez tidak terkejut dengan kelibat Adex itu, tergiang-giang amaran ayahanda mertuanya, Mahaguru Voton tentang peristiwa kelam yang bakal melanda.

Dengan bersegera Ramirez menghantar isterinya dan dayang utama, Maltinar ke bilik perlindungan untuk bersembunyi. Manakala Vaspara mempersiapkan dua kuda sakti mereka yang menjelma dari kuda putih biasa kepada kuda terbang bertanduk unikon.

Ramirez mengingatkan Saltinar melindungi anak mereka yang bakal lahir nanti dan menanda lahir seperti disuruh oleh ayahandanya. Dan barang-barang sakti diagih sama rata. Lantas baginda meninggalkan isterinya disitu lalu baginda ke kamar anakanda Ramiezar yang sedang tidur nyenyak. Baginda membawa bersama puteranya ke pintu belakang istana di mana Vaspara sudah menunggu bersama dua kuda terbang itu.

Mereka bersegera bergerak meninggalkan istana dengan kuda sakti itu. Namun pergerakkan baginda tetap dapat dihidu oleh pasukan burung bota, kuda sakti itu terus terbang laju meninggalkan Kota Thebes sempat hilang dari pandangan pasukan Adex yang durjana itu.

Dikala perjalanan Ramirez dan Vaspara yang sampai di padang luas yang selamat iaitu di satu kawasan pendalaman hulu Sungai Nil Biru yang sunyi dan sepi. Mereka mendarat dan turun dari kuda lantas kemudian baginda raja menyerahkan anakandanya kepada Vaspara. "Vas, beta berharap kamu dapat menjaga putera beta dan mengawasi keselamatannya sehingga dia dewasa, jika Ramiezar sudah dewasa ketemukanlah dia dengan adindanya."

"Tapi tuanku... Keselamatan tuanku putera tidak terjamin jika berada bersama dengan patik..."
"Iya juga kata kamu itu... Pastikan anakanda beta dijaga oleh rakyat biasa... Tetapi kamu mestilah mengawasinya dari jauh."
"Baik tuanku.... " Kata sanggup Vaspara agak keberatan dan sedih kerana menyedari yang dia akan berpisah selamanya dengan rakan karib dari masa kecil lagi.

Ramirez mengeluarkan beberapa alat sakti seperti kristal piramid dan loket penanda lalu diberikan kepada Vaspara, mereka berpelukan seketika tanda perpisahan abadi. Ramirez bersegera menjalankan upacara pemisahan rohnya dengan jasad dimana rohnya keluar dari badan dan memasuki kristal piramid sakti itu. Jasad Ramirez masih boleh bergerak dan berdiri sebagaimana manusia hidup.

Vaspara bersegera membawa raja kecil itu dengan menunggang kuda menyelusuri tebingan sungai yang dipenuhi hutan itu. Manakala pasukan burung kuda bota itu sampailah mendarat di padang dimana jasad Ramirez berdiri, pasukan berkuda itu bergerak mengelilingi Ramirez.

Adex bersegera turun dari kudanya dengan penuh dendam di dada, jasad Ramirez masih sempat mengeluarkan pedang untuk mempertahankan diri. Kuda-kuda bota itu berteriakan dengan ganas. Satu pertarungan sengit telah berlaku, Adex meluahkan kata-kata bencinya kepada kekandanya tetapi jasad Ramirez itu tidak berkata-kata. Dan akhirnya dimenangi oleh Adex yang mana dia memancung jasad abangnya tanpa belas kasihan. Adex tidak tahu jasad itu telahpun terpisah dari rohnya sebelum itu lagi.

Manakala Vaspara sudahpun jauh meninggalkan kawasan pertarungan itu dimana beliau sampai di tebing sungai berhampiran dengan sebuah perkampungan tempatan. Vaspara bersegera memasukkan raja kecil ke dalam sebuah bakul lebar anyaman papirus yang sedia ada di kudanya itu lalu menghanyutkannya bergerak menuju tepi sungai kampung itu.

Bakul hanyut itu terus hanyut sehinggalah ke tengah bahagian kampung dimana isteri ketua kampung sedang membasuh kain baju bersama beberapa penduduk kampung perempuan. Isteri ketua, Puan Tahuna terkejut tetapi suka-hati kerana dia hanya mempunyai dua anak lelaki yang masih kecil. Beliau terus membawakan budak kecil itu kepada suaminya, Penghulu Tata.

Penghulu Tata tidak keberatan untuk membela anak itu sebagai anak angkat. Mereka sangat suka-hati melihatkan anak kecil yang sungguh comel itu. Penghulu mengadakan kenduri satu kampung meraikan kehadiran anak barunya itu. Penghulu Tata mengumumkan anak kecil itu dinamakan sebagai Zaman. Vaspara hanya memerhati dari jauh menyamar sebagai pengembara.

Manakala di Bandaraya Memphis, Mesir Utara berlangsung majlis diraja pemahkotaan Adex sebagai Raja Agung Mesir, dia juga telah memaksa Satrinar menjadi permaisuri keduanya. Tawanan-tawanan perang, ramainya telah dihantar ke Pergunungan Hitam untuk dikorbankan kepada penunggu kuda bota. Maka lebih banyak kuda bota diperolehi oleh Adex bagi menambah angkatan tentera berkuda bota. Orang - orang Hikzos juga semakin ramai menyertai tentera Adex kerana terpengaruh dengan ganjaran wang emas dan perak.

Tentera Adex itu kemudian menyerang kesemua bandar-bandar kecil yang enggan membayar cukai naungan dan tidak mahu mengiktiraf Adex sebagai Raja Agung. Habis teruk bandar-bandar itu dijarah, dimusnah dengan hembusan api burung bota bak naga ganas. Para penentang ditangkap dan dikurung beramai-ramai, hanya menunggu masa untuk dikorbankan kepada burung bota setiap kali bulan mengambang.
Perkampungan kecil yang menjadi tempat asal Puteri Saltinar turut musnah teruk dimana ayahanda Saltina, Mahaguru Voton pun terkorban sama ketika mempertahankan perkampungan itu dengan anak murid yang ada.

Beberapa bulan kemudian, negara Mesir telah berubah corak. Rakyat jelata yang biasanya hidup riang kini hidup dalam keadaan sedih dan tertekan. Manakala Puteri Saltinar kini sudah cukup bulan akan kandungannya, Adex menyangkakan
kandungan itu anak kandungnya.

Semasa upacara menyambut kelahiran di istana permasuri , keadaan Saltinar begitu lemah tetapi sempat berpesan dengan dayangnya, Maltinar supaya anak yang baru dilahirkan itu ditandakan dengan batu kristal kecil dan diberikan penanda sakti loket beserta piramid ketika anakandanya meningkat dewasa dan meminta Maltinar memaklumkan hal sebenarnya siapakah ayahandanya yang sebenarnya.

Saltinar juga berpesan agar makam pengembumiannya ditempatkan dipergunungan Tasik Syurga. Maltinar akur walaupun amat berat untuk menerima kenyataan yang dia akan kehilangan kawan baiknya untuk selamanya. Puteri Saltinar sempat memeluk cium bayi perempuan dan menyebut nama puterinya, Ramirah sebelum menghembuskan nafas terakhir. Maltinar membacakan beberapa mantera, mengakibatkan roh tuan puteri berpindah dari jasad ke kristal piramid kecil itu. Maltinar menangis sedih mengenangkan nasib pewaris tahta Mesir yang sebenar.

Manakala bertempat di perkampungan Desa Medani itu, kehadiran Zaman sebagai anak angkat Penghulu Tata mendatangkan tuah yang bukan sembarangan. Perniagaan barangan kulit binatang dan penternakan begitu menjadi. Desa Medani telah berubah dari desa terpencil kepada pekan kecil yang agak sibuk dengan para saudagar datang untuk mendapatkan bekalan.

Penghulu Tata memang teramat bangga untuk mempunyai anak angkat seperti Zaman kerana rajin dan amanah tetapi beliau amat menyedari bahawa Zaman bukanlah berketurunan orang Nubia berkulit hitam. Maka itu, beliau lebih gemar menyuruh Zaman kerja mengembala ternakan di padang ragut, agar kulitnya lebih gelap menyerupai orang Nubia walaupun isterinya Puan Tahuna mendesak agar Zaman disertakan dalam rombongan dagangan Desa Medani ke kota besar.
Walau apapun, sememangnya Zaman sudah selesa berada padang ternak kerana dia mempunyai kawan-kawan karibnya semenjak kecil iaitu Agola , Mahoa , Jagu dan Manata.

Vaspara pula kerap mengembara ke bandar-bandar besar seluruh Mesir untuk mengumpul maklumat-maklumat risikan bagi mencari jalan keluar untuk memusnahkan Kerajaan Mesir baru yang zalim itu. Untuk seberapa ketika dalam setahun, Vaspara akan singgah di Desa Medani menyamar sebagai mahaguru ilmu mempertahankan diri. Ramai remaja desa menyertai perguruan itu dan termasuklah Zaman. Zaman amat bagus dan cepat menguasai ilmu pertarungan berbanding pemuda desa yang lain seperti mana yang diharapkan Vaspara. Ketika upacara penamatan ilmu setiap tahun, pastinya Zaman menjadi pelajar terbaik dan mendapat pujian Vaspara dan Penghulu Tata.

Sepuluh tahun telah pun berlalu, Adex masih lagi gagah berada di tahtanya, Ravez masih menjadi permaisuri utama. Ramirah pula menjadi puteri diraja Mesir, namun beliau amat dibenci oleh Ratu Ravez memandangkan tuan puteri bukan anak kandungnya. Ramirah menjadi puteri kesayangan Adex berbanding dengan kakak-kakak tirinya.

Kehidupan diraja Mesir kini setiap hari berpesta melihat pertarungan manusia dengan kuda bota di gladium utama, suatu aktiviti yang amat dibenci Puteri Ramirah untuk menyaksikannya. Apatah lagi dengan semua para pembesar terdiri daripada orang Hikzos yang pengampu dan bermuka-muka dengan Raja Firaun.

No comments:

Post a Comment