Monday, January 4, 2010

Bab 5 Puteri Utara Putera Selatan

Puteri 05

Kelima perwira muda yang baru sahaja dilantik menjadi panglima wilayah Thebes itu menghadiri mesyuarat ketenteraan yang pertama dalam hidup mereka. Setelah taklimat ringkas oleh tuan gabenor Watta, kelima panglima itu pun keluar dari dewan mesyuarat istana lantas mengeluarkan perintah tentera yang pertama. Zaman mengeluarkan kata-kata semangat kepada angkatan tentera Thebes yang amat lemah kerana tidak ada pengalaman.

Pasukan itu bergerak gagah dengan penuh semangat bersama pasukan bergajah menuju ke daerah Kaguwas di pendalaman. Di Pekan Kaguwas sudah menunggu kumpulan pemberontakan yang membuat kubu kukuh di situ. Pada petang hari itu pun berlangsung pertempuran di antara dua pasukan. Tentera bawahan berlawan sesama mereka manakala rakan Zaman berlawan dengan orang-orang kanan Khados. Tibalah masanya Zaman dan Khados bersemuka. Maka berlangsunglah duo yang hebat di antara keduanya tetapi Khados lebih banyak mengilak atau menipu menyebabkan Zaman mendapat cedera iaitu luka di bahagian tepi dada kirinya. Zaman masih mampu meneruskan pertarungan dan berjaya melukakan lengan Khados pula. Manakala angkatan pemberontakan itu sudah mulai lemah dan ramainya yang tumbang, Khados mengambil keputusan untuk melarikan diri. Khados tidak berpuas-hati kerana tidak boleh menggunakan kuda bota yang ganas itu untuk elak nama Firaun Agung dicemari. Khados balik dengan kuda bota ke Memphis terus ke kuil Agung, kecederaannya mendapat rawatan terbaik dari atuknya itu.

Pertarungan itu berakhir dengan kemenangan pasukan tentera Kerajaan Thebes, pemberontak yang kalah lari bertempiaran ketakutan. Pasukan tentera Thebes bersegera mengumpul anggota yang tercedera dan mereka berangkat pulang ke ibukota Khatunex. Keesokkan harinya, waktu petang itu sampailah pasukan kerajaan Thebes.

Puteri Ramirah berada di kamar dirajanya di menara. Ketika pasukan tentera itu sampai, tuan puteri itu sedang melihat-lihat barangan lama tinggalan Maltinar dahulu. Termenung panjang Ramirah untuk mencari abang kandungnya itu. Anganannya terganggu dengan sorakan rakyat jelata yang gembira dengan kemenangan tentera kerajaan. Ramirah terus ke balkoni menara dan dia bergembira dengan kehadiran balik tentera kerajaan itu.

Gerombolan tentera itu berarak sehinggalah ke Pintu Gerbang Istana, Zaman lantas ke Balairongseri dengan diiringi oleh panglima berempat. Di balairongseri hanya ada tuan gabenor dan pembesar negeri tanpa kehadiran tuanku puteri. Zaman mengadap gabenor dan memberitahu tentang kejayaan mereka. Watta memberikan pujian atas kejayaan itu.
"Bagus, bagus... Kamu Zaman telah berjaya mengalahkan pemberontakan itu... Tuanku puteri berada di menara, pergilah kamu beritahu khabar gembira ini..." Arah Watta
"Baik tuan gabenor." Sanggup Zaman tetapi kemudian menunduk sakit kesan luka pertarungan semalam dengan Khados itu.
"Mengapa Datuk Panglima?..." Tanya tuan gabenor sedikit gusar.
"Kecederaan yang sedikit sahaja... Tuan gabenor tidak perlu risau."

Panglima Zaman tetap gagahkan diri walau tidak berapa kuat untuk mengadap tuanku puteri raja. Zaman menaiki tangga menaiki menara kamar diraja. Puteri Ramirah masih lagi melihat-lihat barang pusakanya itu ketika pintu kamarnya diketuk-ketuk.

"Tuanku puteri!... Tuanku puteri!..." Kedengaan jelas suara jejaka yang menjadi pujaan hatinya.
"Ohh... Datuk panglima..." Sambil puteri itu membuka pintu.
"Maafkan patik jika mengganggu tuanku..."
"Tidak panglima... Masuklah." Zaman masuki kamar dan Ramirah menutup pintu utama.
"Bagaimana dengan pemberontak itu?"
"Semuanya telah tuanku... Kita berjaya mengalahkan mereka dan..." Sebelum sempat Zaman menghabiskan ayat itu, dia diserang rasa sakit yang teramat. Zaman menekan sakit pada luka di dada sisi dengan tangan kanannya. Dia hampir hendak rebah. Puteri cuba untuk membantu.
"Mengapa tuan panglima?" "Tak ada apa-apa tuanku... Cuma luka sedikit sahaja ni."

Kesakitan panglima bertambah teruk kerana senjata pedang yang digunakan oleh Khados disalut dengan getah pokok tuba kaktus. Zaman terus diserang rasa sakit lalu rebah. Tuanku puteri panik ketakutan dengan kejutan itu. "Biar beta carikan ubat..."

Tuanku puteri segera mendapatkan kotak ubat di dalam almari. Baginda sedaya-upaya untu
Memapah panglima yang cedera itu ke kerusi panjang. "Beta cuba letak ubat penawar bisa ya..."
Tuan puteri itu membukakan sebahagian baju panglima dan membuka semula balutan rawatan sebelum ini. Luka sebelum ini bertambah teruk kerana bisa racun. Tuan puteri menabur serbuk hijau yang mengandungi penawar semua bisa dimana telah dijampi khas oleh Pendita Nanda untuk kegunaan diraja. Zaman mengeluh pedih dan sakit bila luka ditaruh serbuk ubat itu. "Bersabarlah panglima..."
"Sakit sangat tuanku..." Keluh Zaman sehingga menitis air mata.
"Sabar, sabar, sekejap lagi... Akan kuranglah sakitnya."

Ramirah gelisah risau mengharapkan panglima segera baik. Puteri mencuba mengesat untuk membersih luka. Terkejut besar puteri itu apabila mendapati satu kesan parut tiga segi di bawah kawasan luka itu,"Tidak... Tidak mungkin..." Jerit puteri.
"Mengapa tuanku?..." Hairan pula Zaman.
"Ini... Kesan parut tiga segi di bawah luka ni..."
"Iya... Kenapa?"
"Beta juga mempunyainya..."
"Tidak mungkin..." Zaman terkejut terpinga-pinga untuk menghadapi kenyataan itu. Zaman cuba untuk bangun.

Ramirah bersegera mengambil barang-barang tinggalan pusaka yang disimpan di almari. Ramirah menunjukkan kepada Zaman akan isi kandungan kotak bersalut emas itu. Zaman terkaget apabila melihatkan barang-barang penanda yang sama seperti yang dipunyainya.

Zaman mengambil kundi kain yang disimpan rapi di pinggang belakangnya. Dia mengeluarkan satu persatu barang kepunyaannya. Ramirah meletakkan loket tiga segi kepunyaannya pada kesan parut Zaman, ternyata saiz sama. "Kita bersaudara..." Desus Zaman, Ramirah terpaku tersendu kerana pahlawan yang amat disayanginya itu tidak lain daripada saudara sedarah sendiri.

"Kanda..." Kata sedih Ramirah yang teramat rindu untuk bertemu semula dengan abang kandungnya itu. Mereka berpelukan agak lama seolah baru bertemu setelah terpisah sekian lama.
"Bagaimana kanda... Adakah perlu kita menghebah hal ini?...."
"Tidak sesekali... Adinda... Jika hal ini diketahui oleh Raja Firaun, tentu nyawa kita akan terancam... Kerana kita berdua adalah pewaris tahta yang berhak ke atas negara Mesir Bersatu ini."
"Tetapi kanda... Kita perlu menuntut hak... Setelah kematian ayahanda kita..."
"Bersabarlah adindaku... Masanya akan tiba nanti... Kita perlu mengumpul kekuatan dahulu sebelum kita menuntut tahta... Mereka sangat kuat..."
"Tapi bagaimana kanda ?"
"Kanda akan cuba berhubungan dengan Mahaguru Vaspara... Rakan baik ayahanda dahulu... Buat masa ini adinda berpura-pura macam biasa sahaja..."
"Baik kekanda..." Sanggup Ramirah, mereka berpelukan lagi.

Beberapa hari kemudian, satu makan malam keraian diraja diadakan di Istana Khatunex bersempena dengan kemenangan tentera kerajaan Thebes itu. Orang kaya Watta mengeluarkan kata-kata aluan santapan kerajaan, "Kita semua warga wilayah selatan ini sungguh bertuah kerana mempunyai kepimpinan datuk-datuk panglima yang sungguh gagah perkasa dan bijaksana dalam mempertahankan tanah Thebes ini... Jadi patik sebagai gabenor wilayah berbesar hati untuk memberitahu Paduka Baginda Raja Firaun yang Agung... Akan kemenangan pasukan tentera negeri Thebes ini dan cadangan kenaikan pangkat datuk panglima utama kita sebagai timbalan panglima Negara Mesir Bersatu."

Pengumuman Watta selaku gabenor Thebes itu memberi kejutan kepada Ramirah dan Zaman kerana belum tiba waktunya untuk mereka bersemuka dengan ayah saudara mereka yang kejam itu. Tetapi kedua mereka berupaya menyembunyikan perasaan mereka itu. Ramirah mengeluarkan titah, "Beta agak berat juga dengan percadangan itu Orang Kaya Watta..."
"Mengapa pula tuanku puteri?" Hairan Watta.
"Tidakkah memanda gabenor fikir, jika Datuk Panglima kita dilantik oleh ayahanda beta Firaun Agung untuk menjadi Panglima Negara, siapakah yang akan menjadi keselamatan beta di Thebes ini... Ayahanda tentunya lebih suka menghantar pahlawan terbaiknya untuk berperang, menakluk negara luar... " Alasan bernas puteri.
"Iya tak ya juga tuanku... Tak terfikir pula patik... Kalau begitu...eloknya Panglima Zaman menjadi Panglima Utama Negeri Thebes sahaja." Ujar balas Gabenor Watta yang melegakan semua.

Pada malamnya, di kawasan kandang kuda diraja. Zaman sedang berbisik berpesan kepada rakannya Manata untuk pergi bertemu dengan Vaspara yang berada di perkampungan mereka di Desa Medani. Manata bersegera berlepas dengan kuda kesayangannya.
Zaman memerhatikan rakannya berlalu kemudia dia terpandang ke arah Menara Istana dimana Ramirah berada. Zaman terasa rindu pula untuk bertemu dengan adik kandungnya itu.
Mulanya Zaman mahu memanjat tembok menara yang penuh ditumbuhi pohonan merayap. Tetapi beliau mendapat idea lain pula. Lalu dia pergi semula ke kandang kuda lalu dia membawa keluar kuda putih saktinya itu, Zaman mengeluarkan tanduk unikon kecil dari kantung kulit pinggangnya itu lalu dia letakkan tanduk itu di kepala kuda.
Dengan beberapa ketika kuda itu bercahaya dan menzahirkan sayap saktinya yang putih seumpama sayap burung angsa. Zaman pun terbang berlegar-legar ke ruang angkasa istana dan kemudian ke Menara Istana. Puteri Ramirah ketika itu sedang mencuba untuk melelapkan mata di kamarnya tersentak dengan bunyi pendaratan... Dan kemudian terdengar bunyi panggilan,"Adinda, adinda Ramirah..." Ramirah terus ke beranda apabila terdengar itu.
"Kanda, kanda berada di sini dengan kuda ini... Tak percaya dinda..."
"Dinda tak percaya ke? Kanda naik atas sini dengan kuda bersayap..."
"Bukan tak percaya itu... Tapi setahu dinda hanya kuda bota sahaja yang boleh terbang..."
"Kuda bota? Tak pernah kanda mendengarnya..."
"Kuda bota itu mempunyai badan seperti kuda, bersayap berkaki seperti helang tetapi berkepala naga..."
"Eiii... Teruknya..."
"Ada perkara yang teruk lagi... Kuda bota itu pemakan manusia dan mulutnya sentiasa mengeluarkan api." Jelas Ramirah panjang lebar.
"Apakata kita cuba naik kuda ini... Adinda."
"Baiklah kanda... " Mereka bersama- sama menunggang kuda itu lalu mereka dibawa terbang mengigilingi ruang angkasa Bandar Purba Khatunex itu. Mereka begitu mesra sekali memerhatikan permandangan maklumlah dua beradik baru bertemu semula.

Manakala di Kuil Agung Memphis, dua beranak keturunan kerajaan ular berkembar sedang bermesyuarat, "Bagaimanakah kita untuk menghapuskan panglima itu ayahanda? Dia sungguh kuat dan gagah melindungi Puteri Ramirah itu, apa kita boleh buat lagi, ayahanda?" Tanya Ravez dengan penuh kebencian dan bimbang akan hilang kuasa.
"Kita tengoklah dulu anakku, apabila Khados sudah sembuh, dia boleh mencari peluang untuk menghapuskan pahlawan itu."
"Tetapi ayahanda, panglima itu sudah mengenali anakanda kerana mereka pernah bertarung..." Takut si Ravez.

"Walaupun begitu... Kita masih ada pilihan lain... Kerana di tangan ayahanda sekarang ada sepucuk surat cadangan dari Gabenor Watta untuk pemashyuran jawatan panglima utama Thebes budak itu oleh Tuanku Firaun."
"Bagaimana tu, ayahanda?"
"Apabila panglima itu datang ke Bandar Kota Memphis ini untuk menerima anugerah daripada Tuanku Firaun... Tahulah kita untuk kerjakan budak muda itu..."
"Ooh, anakanda tahu... Kita guna cara fitnah..." Balas Ravez kegembiraan, kedua beranak itu ketawa kesukaan bagaikan dirasuk syaitan.

Beberapa hari kemudian di Bandar Khatunex itu, muncullah seorang lelaki tua misteri yang menunggang kuda putih memasuki bandar kota itu, dia adalah Vaspara. Beliau susah juga untuk mengharungi kawasan pasar yang padat dengan rakyat jelata. Akhirnya sampailah beliau di pintu besar Istana Utama Khatunex itu. Agak sukar juga untuk beliau masuki walaupun beliau beritahu yang dia adalah tok guru Panglima Zaman. Nasib baik, salah seorang kawan Zaman, si Manata kebetulan lalu ke situ. Maka dapatlah Vaspara memasuki kawasan istana itu. Vaspara dibawa Manata untuk bertemu dengan Zaman dan rakannya yang lain di penginapan panglima.

Mereka begitu gembira dengan kehadiran semula mahaguru mereka itu. Vaspara berehat selepas itu setelah penat berjalan jauh. Pada malamnya di istana itu, Zaman membawakan Vaspara ke Menara Istana dimana Ramirah berada. Zaman memperkenalkan mahagurunya itu, "Perkenalkan adinda, Pak Guru Vaspara kanda yang juga kawan baik ayahanda kita."

Ramirah bersalam dengan Vaspara lantas Vaspara memeluk erat puteri itu. "Bapak... Tidak pernah dapat menatap kamu semenjak pencerobohan Kota Thebes 21 tahun dahulu, kamu masih dalam kandungan ibu kamu Permaisuri Saltinar."
"Anakanda tidak sangka dapat bertemu juga dengan pembantu ayahanda dan bonda, seperti yang pernah bonda Maltinar bercerita... "

"Baguslah kamu berdua dapat bertemu semula setelah lama terpisah, sudah tiba masanya untuk kamu menuntut hak tahta kamu, anakku..."
"Apakah perlu kami lakukan sekarang, bapak Vaspara?" Tanya Ramirah.
"Kamu berdua perlu segera ke Tasik Syurga..."
"Adakah maksud bapak... Pusara bonda kami?" Tanya hairan Ramirah.
"Iya anakku... Di sana kamu boleh bertemu ibu-bapa kamu..."
"Apa maksud bapak?" Hairan Ramirah.
"Kita masih boleh bertemu semula dengan ayahanda dan bonda..." kata sedih Zaman.
"...tetapi untuk seketika sahaja..." Sambung Vaspara.
"Seketika sahaja?..." Desus sedih Ramirah.
"Iya anakku... Apa yang kamu akan temui nanti adalah jelmaan semula roh orang tua kamu... Tetapi untuk seberapa ketika sebelum mereka kembali ke alam abadi untuk selamanya..."
"Tapi bagaimana caranya, Pak Guru?"
"Apabila kamu berada di makam bonda kamu bersemayam... Kamu berdua perlu cantumkan tapak dua kristal kepunyaan kamu... Roh mereka akan muncul..."
"Tapi bapak Vaspara... Kekanda Zaman perlu pergi dulu ke Memphis untuk upacara pemasyuran rasmi jawatan panglima oleh ayahanda Adex..."
"Iya Pak Guru... "
"....kalau begitu, kamu boleh pergi ke Tasik Syurga selepas upacara itu... Lagi pun kesempatan ini boleh kamu gunakan untuk mencari titik lemah dalam Istana Agung itu..."
"Baik Pak Guru..." Sanggup Zaman. Pertemuan itu pun berakhir untuk malam itu.

Keesokkannya, Ramirah dan Zaman menaiki kapal bahtera diraja Thebes dan menyelusuri Sungai Nil Besar untuk ke Kota Memphis. Rombongan Thebes itu tidak disertai Gabenor dan keempat panglima kanan yang lain kerana mereka perlu berawas akan ancaman pemberontakan. Alasan itu sengaja digunakan oleh Ramirah untuk elak kekuatan tentera Thebes berada di Kota Memphis. Selain Ramirah dan Zaman, ahli rombongan hanya terdiri daripada kakitangan istana dan pengiring Ramirah. Perjalanan itu mengambil masa 2 hari untuk sampai ke Bandar Pelabuhan Kaheera yang menjadi pintu masuk utama ke ibu kota Mesir Agung.

Ketibaan rombongan puteri itu disambut oleh rakyat jelata dan wakil diraja yang diketuai oleh Romotex yang menjawat kedudukan sebagai Paderi Agung. Terkejut besar si Romotex kerana panglima Thebes itu mempunyai iras wajah bekas seterunya Raja Firdaus.

Rombongan Thebes itu pun bergerak ke Istana Agung Mesir dengan kereta berkuda putih. Mereka kemudian tibalah di istana dan memasuki balairongseri. Raja Firaun Adex sudah sedia ada di balairongseri utama kerana protokol pengadapan urusan negara ditemani semua barisan memanda menteri. Tahta singgahsana Ratu Raves berada di sisi kiri balai diikuti oleh tahta putera mahkota si Khados.

Pegawai protokol mencanang gong dan mengumumkan ketibaan Puteri Ramirah, Panglima Zaman dan Paderi Agung. Puteri itu memasuki ruang mengadap, Ramirah menyapa, "Apa khabar ayahanda?"
"Baik-baik sahaja puteri kesayangan beta..." Sambil Ramirah memberi kucupan di pipi raja firaun itu.

Puteri Ramirah menduduki singgahsananya yang berada di sebelah sisi kanan. Romotex juga mengambil kerusinya sebagai Paderi Agung. Manakala Zaman beserta pegawai istana Thebes terus mengadap Firaun Adex. Zaman mengangkat sembah kepada firaun," Ampun Tuanku Firaun yang agung, patik yang hina datang mengadap sembah... "
"Oh... Kamulah wira Thebes yang berjaya mengalahkan pemberontak di Kaguwas itu."
"Iya tuanku..." Dalam pada itu, Zaman terpandang putera mahkota yang merupakan seterunya sebanyak 2 kali bertemu tetapi Zaman cuba memendam rasa dan berlagak biasa.

Firaun Adex bangun dari tahta dan menghunuskan Pedang Amun-Ra yang menjadi lambang kuasa Maharaja Firaun Mesir Agung. Pedang itu diletak dibahu kiri Zaman. Dalam pada itu Romotex mengambil kesempatan untuk berbisik kepada Ravez akan sesuatu hal.

Adex juga tidak berapa selesa apabila memandang wajah Zaman yang begitu mengingatkan dia akan ayahanda dan kekandanya Raja Ramirez. Dia bertitah, "Maka beta sebagai Raja Tanah Agung Mesir ini melantik kamu sebagai Panglima Mesir kedua yang menjadi tugas kamu untuk menjaga keselamatan negeri Mesir Selatan. Memanda Bendahara, bawakan watikah perlantikan dan persalinan tuan panglima ini..."

Protokol perlantikan itu berakhir dengan Bendahara menyerahkan gulungan papirus watikah perlantikan dan persalinan panglima kepada Zaman. Pada tengahari, acara makan tengahari keluarga diraja dimana Zaman pun turut serta dengan pakaian persalinan rasmi sebagai panglima kedua.

Selepas santap tengahari, Raja Firaun menerus aktiviti petangnya dengan menonton perlawanan manusia dengan kuda bota yang ganas itu bersama-sama dengan memanda menterinya di gladium negara. Puteri Ramirah tidak turut serta menuju ke kamarnya dengan diiringi oleh Panglima Zaman.

Zaman seperti memendam rasa untuk memberitahu Ramirah akan sesuatu. Ravez yang melihat dari jauh tidak senang dengan keadaan itu. Dia terus mengintip pergerakan mereka dari jauh. Zaman beberapa kali asyik tidak dapat kesempatan untuk memberitahu Ramirah kerana selalu terserempak dengan pegawai istana yang lalu-lalang. Sehinggalah mereka sampai ke Istana Kediaman Rasmi Ramirah. Keadaan lebih selamat untuk Zaman memberitahu Ramirah.

Ratu Ravez mengambil peluang untuk mencuri dengar dengan menyelinap diantara pohonan pagar yang rendang berhampiran dengan laluan ke istana puteri.
"Adinda... Ada sesuatu perkara yang memusykilkan kanda..."
"Apakah ia kanda Zaman?"
"Siapakah gerangan pemuda yang berada di sisi Permaisuri Ratu itu?"
"Maksud kanda... Putera Mahkota Khados..."
"Iya... Kanda pernah jumpa Khados itu sebelum ini..." Cuba beritahu Zaman tetapi Ravez dapat mengagak apa yang cuba diberitahu oleh panglima itu lalu dia memunculkan diri untuk menghalang.

"Apa kanda... Apa maksud kanda itu?" Tanya Ramirah seraya kemunculan Ratu Ravez, Zaman teragak-agak untuk memberitahu.
"Dia... Dia sebenarnya..." Belum sempat Zaman habis, Ratu Ravez mencelah dengan wajah garang dan marah.
"Anakanda Ramirah! Mengapa kamu membawa lelaki memasuki kawasan larangan ini? Hanya pengawal istana sahaja boleh berada di sini..."
"Tapi Bonda Ratu... Tuan panglima ni cuma meneman anakanda... "
"Tidak ada tapi-tapi lagi Puteri Ramirah, nyah kamu Tuan Panglima!"
Usir Ratu Ravez.

Ramirah dan Zaman saling berpandangan. Ramirah hilang ilham untuk menghalang arahan ibu tirinya kerana undang-undang larangan itu masih diguna-pakai. Zaman terus akur dengan perintah Ratu itu lantas membawa diri pergi dari situ.

Ramirah berasa hati dengan tindakan Ravez itu lalu berkata, "Sampai hati bonda, lakukan ini terhadap beta..." Keluh puteri itu lalu membawa diri ke kamar rasminya lalu mengunci pintu dari dalam.

Ramirah menangis bersendirian mengenangkan nasibnya. Bunyi tangisan itu mengembirakan Ravez kerana halangan dia menjadi tetapi Ravez berasa ganjil sedikit kerana Ramirah dan Zaman membahasakan diri mereka kanda-dinda walhal setahunya Adex tidak mempunyai putera lain selain Khados. "Mereka agaknya bercinta mungkin..." Desus kata hati Ravez.

Ravez kemudian mengeluarkan arahan baru kepada ketua pengawal istana agar tidak ada lelaki dibenarkan masuk ke istana tuan puteri. Zaman mencuba beberapa kali untuk masuki kawasan larangan itu dari berbagai pintu masuk tetapi tetap tidak dibenarkan kerana beliau bukan ahli pengawal istana walaupun sudah memegang jawatan panglima kedua Mesir. Zaman hampir berputus-asa kerana tidak dapat untuk meluahkan kesangsiannya terhadap seorang putera diraja kepada Ramirah. Tidak syak lagi keselamatan adinda puterinya dalam bahaya. Tetapi dia mendapat satu ilham jalan keluar akan permasalahan itu.

Zaman menantikan hari larut malam. Pabila tiba masanya itu, Zaman mengambil kuda putihnya di kandang diraja lalu memasangkan tanduk unikon untuk bertukar menjadi kuda terbang. Zaman menunggang terbang ke kawasan beranda menara istana kediaman puteri yang lebih luas dan mempunyai pohonan memanjat memenuhi dinding.

Zaman melepaskan kudanya untuk terbang semula ke kandang. Apabila kuda sakti itu sampai di kandang, Zaman meniupkan satu seruling kecil yang menyebabkan kudanya mematahkan semula unikonnya dengan sendiri lalu memagut tanduk itu dan memasukkan tanduk itu ke dalam beg pelana.

Setelah Zaman yakin kudanya telah kembali kepada normal barulah beliau mencuba memasuki kamar Ramirah melalui pintu beranda, akan tetapi pintu itu seamat kukuh dan tebal untuk dimasuki. Ramirah pula kebetulan teramat sibuk dengan protokol istana tertidur lena. Zaman mencuba menyeru nama Ramirah tetapi tidak dapat mengejutkan lena puteri itu.

Pada ketika yang sama, Khados berada di kamar bonda kesayangannya. "Khados, bonda amat berasa bimbang dengan kelibat tuan panglima itu, beberapa kali nama kamu disebut-sebut kepada Ramirah..."
"Benarkah bonda... Anakanda telah beberapa kali gagal menghapuskan bedebah Zaman dari Nubia Selatan itu..." Dalam pada itu percubaan Zaman untuk membuka pintu beranda berbunyi agak kuat menyedarkan dua beranak yang jahat itu kerana jarak menara kamar Ratu Ravez antara yang terdekat.
"Mungkin panglima itu sudah memanjat naik menara tuan puteri... Untuk memberitahu rahsia kamu itu... Cepat perintahkan pengawal ke kamar Ramirah..." Arah Ravez kepada Khados.
"Baik bonda..."

Manakala Zaman berjaya juga membukakan pintu tetapi angkara itu menghasilkan bunyi hentakan yang kuat. Ramirah sedikit terjaga tetapi masih mamai lagi. Zaman segera memasuki kamar dan mencuba kejutkan Ramirah dengan mengusap-usapkan rambut Ramirah. "Adinda, dinda Ramirah..." Barulah Ramirah terjaga.
"Kenapakah kanda... Perlukan kanda melanggar larangan istana..."
"Kanda tidak mempunyai pilihan lagi... Kanda... Sudah beberapa kali mencuba nak masuk untuk berjumpa dinda tetapi semua pengawal tidak benarkan."
"Dinda tahu... Ini semua angkara Bonda Ravez... Dia tidak menyenangi apa sahaja yang dinda buat...."
"Tapi kanda ada sesuatu perkara yang lebih teruk dari itu... Tentang Putera Khados sepupu kita itu..."
"Mengapa kanda?..."
"Kanda pasti... Khadoslah petualang serangan di padang pasir Nubia dahulu dan pemberontakan di Kaguwas tempohari..."
"Kanda begitu pasti?"
"Dialah yang kanda beradu di kedua-dua pertempuran itu.... Dan dialah yang mencederakan kanda tempohari..."
"Ayahanda Adex... Tentu amat murka jika tahu serangan-serangan itu didalangi oleh puteranya sendiri... Ramirah tidak pernah menghalang warisan tahta... Tetapi Bonda Ravez dan Khados tidak pernah berpuas hati dengan dinda..." Keluh sedih tangis Ramirah." Zaman memeluk erat adindanya.

"Bersabarlah dinda... Mereka itu belum tahu lagi yang kamu bukan anak kandung Raja Adex... Tetapi sebenarnya anak musuh ketat mereka..."
"Apa kita nak buat kanda... Ayah dan bonda kita sudah tiada untuk berada di sisi kita..."Keluh puteri Ramirah. Namun Zaman cuma terus memeluk tenangkan adiknya itu.

Tetapi tiba-tiba pintu kamar utama dipecah masuk oleh sedozen pengawal istana yang diketuai oleh Khados. "Tangkap si bedebah dari Selatan itu!"
Perintah Khados seraya 10 orang lagi pengawal mengililingi Zaman.
"Apa kamu buat buat di kamar adinda puteri kesayangan beta ini, hah? Kamu mahu menodai Puteri Raja Firaun?" Kata pura Khados seraya Ravez tiba dengan beberapa pegawai istana yang lain.
"Iya... Datuk Panglima yang gagah perkasa... Angkara apakah gerangan kamu berada di kawasan larangan ini..." Tanya sindir Ravez.
"Pengawal... Bukakan baju si bedebah itu..." Arah Khados berniat jahat lalu pengawal ikutkan arahan itu dengan menanggalkan baju Zaman.
"Ciss! Sungguh busuk hati kamu Khados!..." Jerit Zaman sambil meronta-ronta melawan tetapi ternyata tidak upaya melayan pengawal yang lebih bilangannya.

Puteri Ramirah tidak terdaya juga untuk membatalkan arahan hanya mampu menangis meminta belas ihsan Ratu Ravez. "Bonda... Tolonglah bonda... Kami tidak lakukan apa-apa..."
"Tidak perlulah kamu berpura-pura baik puteri yang jelita..." Ravez dengan nada penuh kebencian lalu berangkat pergi dari situ.

Zaman kemudian dibawa Khados dan pengawal ke Kamar Utama Raja Firaun. Maharani Ratu Ravez sudahpun memaklumkan kepada Adex tentang tangkapan itu. "Cik laknat kamu wahai panglima yang tidak mengenang budi... Berani kamu menodai puteri beta..."
"Saya tidak lakukan apa-apa... Tuanku." Rayuan Zaman. Kemudian muncul Ravez.
"Memang itulah yang telah berlaku kanda, adinda sendiri telah melihat panglima ini tidak berpakaian di dalam kamar puteri kita itu..."
"Itu semua tidak benar tuanku..." Kata rayu Zaman.

Raja Firaun tidak memperdulikan lantas menampar dengan kuat ke muka Zaman. Manakala Puteri Ramirah pula muncul dan menjerit, "Tidak ayahanda, panglima tidak bersalah... Dia telah dianiaya..."
"Janganlah kamu cuba melindungi panglima itu wahai anakanda puteri, bonda tahu kamu begitu dahagakan kejantanan seorang lelaki..." Kata sindir Ravez.
"Kalau Ramirah dahagakan itu... Tidak perlulah kami bersusah-payah ke bandar kota ini, mengapakah tidak kami lakukan di Bandar Khatunex sahaja."
"Sudahlah... Anakanda puteriku, kamu tidak bersalah kerana pemikiran kamu telah dipengaruhi oleh jampi serapah dan ubat guna-guna orang Selatan, beta jatuhkan hukuman berlawan dengan kuda bota esok hari..." Titah Adex dengan tegas.

"Janganlah ayahanda buat begitu, kejamnya ayahanda..." Rintih Ramirah.
"Pengawal! Bawa panglima bedebah ke kurungan, beta nak tengok sejauh mana kuat tenaga kejantanannya." Titah Adex lagi. Ravez dan Khados tersenyum puas-hati. Ramirah kemudian membawa diri ke kamar rasminya lalu merebahkan diri ke katil diraja. Ramirah terus meratapi nasib abang kandungnya yang akan menjadi korban haiwan bota esok hari. Ramirah akhirnya terleka tidur dalam kesedihan.

Masa menghampiri awal pagi, Vaspara sampai di Kota Memphis dengan kuda terbang yang satu lagi. Vaspara mendarat ke kediaman pengawal tentera tetapi tidak menjumpai Zaman berada di situ. Kemudian di kawasan kandang kuda diraja, Vaspara meniup seruling kecil, hanya kuda Zaman yang muncul. Vaspara menjadi risau tetapi kemudian beliau teringatkan si Puteri Ramirah. Lalu dia terbang dengan kuda saktinya ke balkoni kamar puteri. Kehairanan juga Vaspara dengan keadaan pintu anjung yang terbuka luas hanya ditutupi langsir tebal. Vaspara berteriak dan mengetuk pintu balkoni, beliau membaca beberapa mantera untuk mengejut tidur si puteri. Puteri Ramirah pun segera terjaga, "Ayahanda Vaspara!... Kanda Zaman..."
"Bagaimana Zaman... Anakanda?"
"Kanda Zaman telah ditangkap oleh Khados dan bonda Ravez..."
"Bagaimana begitu anakanda?"
"Perjumpaan kanda dengan anakanda disini telah ditipu helah oleh mereka."
"Mudahlah mereka mengambil kesempatan dengan kawasan larangan itu..."
"Kanda Zaman sebenarnya datang untuk memberitahu tentang pemberontakan di Kaguwas itu didalangi oleh Khados."
"Bagaimana dengan keadaan kekanda kamu sekarang?"
"Kanda Zaman sekarang dalam kurungan, esok kanda akan menghadapi pertarungan dengan kuda bota... Apa harus kita lakukan ayahanda Vaspara..."
"Pada ketika ini... Kita tidak boleh berbuat apa-apa kerana kawalan ketat pengawal istana..."
"Habis tu... Bagaimana dengan nasib kanda besok?"
"Bersabarlah Ramirah... Esok ketika pertarungan itu, ayahanda akan lepaskan kuda sakti Zaman.. Dan kamu berdua perlu pergi jauh dari bumi Mesir ini.
"Kami perlu pergi ke mana, ayahanda?"
"Jika Zaman berjaya melepaskan diri, pesankan dia untuk bertemu ayahanda di Bukit Raul..."
"Baik ayahanda Vaspara..." Sanggup Ramirah. Vaspara pun meninggalkan puteri itu di kamarnya.

Keesokkan harinya, waktu petang seperti biasa berlangsung acara pertarungan kuda bota dengan manusia, rakyat jelata.........


....................bersambung

No comments:

Post a Comment